Powered By Blogger

Sunday, June 21, 2009

DR Z!

Rakyat Perak wajar nilai tindakan melampau Nizar

Oleh Ridzuan Yop
bhnews@bharian.com.my


Datuk Zambry Abdul Kadir

Zambry bersimpati dengan pengundi Parlimen Bukit Gantang

KAMPAR: Tindakan keterlaluan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada majlis angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Isnin lalu, adalah sesuatu yang mengejutkan dan wajar dinilai sendiri rakyat Perak, terutama yang mengundi beliau sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata banyak pihak menyatakan rasa terkejut mereka dengan sikap dan kelakuan Nizar pada majlis itu dan mahu mengetahui sikap sebenarnya Nizar.

"Jawapan saya kepada mereka mudah... kelakuan itu hanya satu peratus saja daripada tingkah laku sebenar yang ditunjukkan Nizar, terutama ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei lalu.


"Perangai dia (Nizar) di Dewan Rakyat itu hanya satu peratus saja, itu pun orang ramai sudah terkejut," katanya ketika diminta mengulas tindakan Nizar yang enggan mematuhi peraturan mesyuarat selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

"Bagi saya orang ramai boleh melihat dan menilai sikap sebenar dia (sebagai pemimpin)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Kampar di sini, semalam.

Ketika di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Nizar sebaik selesai mengangkat sumpah bertindak memakai lilitan pada songkok bertulis 'Bubar DUN' dan melaungkan 'Hidup Rakyat' dan 'Bubar DUN Perak'.

Tindakan itu menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pendekar Amin Mulia menggantung beliau dan enam lagi anggota pembangkang daripada menghadiri dewan selama dua hari.

Sehubungan itu, Zambry melahirkan rasa simpati terhadap pengundi yang menyokong Nizar di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil 7 April lalu.

"Saya simpati dengan pengundi di Bukit Gantang, apabila ada di kalangan mereka yang menyokongnya tentu dengan satu harapan supaya beliau (Nizar) dapat menjadi wakil rakyat mereka yang baik.

"Ini tidak belum apa-apa lagi selepas tanda tangan surat sebagai Ahli Parlimen terus buat perangai.... jadi susahlah bagaimana dia nak laksanakan tugas dia sebagai Ahli Parlimen.

"Semua orang pun tahu bahawa ketika berada dalam dewan, bagaimana sikap yang perlu ditonjolkan dan saya percaya bukan hanya Speaker terkejut, ketua pembangkang pun terkejut (tindakan Nizar)," katanya.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan, Zambry berkata, Nik Aziz tidak wajar membuat kenyataan mengikut hawa nafsu dan emosinya.

"Saya berharap janganlah mereka bergaduh... bab yang elok ini (kerajaan perpaduan).... saya minta supaya Nik Aziz beristighfar banyak-banyak, saya pun tidak mahu masuk campur, ini bab parti mereka.

"Tapi saya tahu Nik Aziz seorang yang alim yang tidak didorong oleh hawa nafsu dan emosi.... kerana benda yang baik ini eloklah kita sama-sama sokong dan biasanya nak mencapai kebaikan mungkin ada halangannya," katanya yang berharap Nik Aziz menjadi orang yang dapat memulakan benda yang baik itu.

0 comments:

Post a Comment

RENCANA

REALITI !!!